Sunday 6 December 2020

Tak panaskan kereta sebelum guna punca enjin rosak, betul ke?

 

MEMANASKAN enjin kereta masih menjadi kebiasaan yang dilakukan sebelum memulakan perjalanan terutamanya pada waktu pagi, tambahan pula jika kenderaan sudah agak berusia.

Tidak kurang juga, bagi pemilik kereta baharu, ada yang turut memanaskan enjin yang ada di antaranya mengambil masa sekitar lima minit atau lebih.


Tindakan memanaskan kereta adalah bagi memberikan komponen enjin 'terjaga' dan berfungsi dengan baik sebelum dipandu.

Tapi persoalannya, adakah kereta baharu perlu dipanaskan sebelum dipandu?

Menurut pakar kenderaan, Didi Ahadi, untuk kereta baharu tidak perlu dipanaskan kerana kebanyakan keluaran kenderaan zaman kini sudah menggunakan teknologi yang lebih canggih.

Jelas Didi, setiap komponen yang terdapat pada enjin kenderaan sudah dilengkapi dengan fuel injection atau suntikan bahan api bersama unit kawalan elektronik (ECU) yang berfungsi menyesuaikan suhu enjin kenderaan walaupun di tempat bersuhu di bawah 0ºC.

"Teknologi hari ini sudah berbeza, semuanya menggunakan ECU. Jadi ketika enjin dihidupkan ia boleh terus dipandu," katanya.


Bagaimanapun, kereta yang tidak digunakan dalam tempoh jangka panjang boleh menyebabkan minyak enjin berkurangan.

Manakala kereta yang dipandu setiap hari tidak perlu dipanaskan kerana ia berisiko membuatkan petrol meresap ke dalam minyak enjin sehingga boleh menjejaskan tahap kelikatan bahan pelincir itu.

Akibatnya, ia boleh meningkatkan risiko haus ke atas komponen dalam enjin.

Jadi anda tidak perlu bimbang untuk terus menggunakan kereta tanpa dipanaskan terlebih dahulu selain ia tidak mendatangkan risiko kerosakan enjin!